Thursday, May 19, 2011

Jadilah yang paling murah


Pada kebiasaannya manusia memandang rendah kepada barang yang murah. Malah, jika barang itu murah kita dengan mudah mengabaikannya.

Salah satu perkara murah yang selalu manusia abaikan adalah murah senyuman.

Senyuman adalah aktiviti yang tidak memerlukan apa-apa kewangan tetapi membawa makna yang besar kepada manusia. Mungkin dengan senyuman anda, pekerja anda akan lebih bersemangat untuk berkhidmat. Mungkin dengan senyuman anda, seorang bukan Islam tertarik dengan Islam. Malah mungkin melalui senyuman anda juga, seseorang mengubah keputusannya daripada mahu membunuh diri kepada mahu hidup!

Tiapa siapa yang tahu. Hanya Allah SWT sahaja yang menyimpan rahsia itu.

Islam yang positif

Agama Islam sangat menekankan pemikiran positif di mana umatnya diajar supaya menutup aib manusia yang lain dan tidak bersangka buruk. Malah sesuatu berita yang sampai kepada kita juga mestilah diteliti dahulu kebenarannya. Malah berita yang benar juga jika ianya boleh dikategorikan sebagai mengumpat adalah dilarang sama sekali.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Teori positif minda

Pada bulan lepas saya menerima berita yang sangat menggembirakan sehingga saya terbawa-bawa dengan senyuman. Saya sentiasa tersenyum di sepanjang perjalanan, di dalam LRT. Malah semasa membeli-belah di Armcorp Mall, saya turut sentiasa tersenyum. Semuanya kerana aura kegembiraan yang saya sedang alami. Apa yang menarik adalah, di sepanjang perjalanan saya, saya merasakan semua orang tersenyum dengan saya dan seolah-olah semua orang di sekeliling juga gembira.

Inilah yang dikatakan teori positif minda rupanya. Sesuatu perkara yang positif yang kita alami akan membawa perkara positif yang lain. Begitu juga sebaliknya, jika kita sedang mengalami keadaan yang tidak baik dan menampilkan sikap negatif maka hasilnya pasti tidak sebaik semasa kita berfikiran positif.

Pernahkah anda mengalami situasi dimana anda baru sahaja dimarahi oleh seseorang tanpa sebab dan jika bersebab pun ianya hanyalah suatu kesalahan kecil yang tidak perlu untuk dimarahi dengan teruk. Dengan langkah yang tidak teratur, sambil menghentak kaki malah mengomel sendirian kerana tidak berpuas hati anda bersiar-siar di taman. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi manusia disekeliling kita? Pasti mereka pelik dan tidak akan dengan mudah melemparkan senyuman kepada kita.

Tindakan Manusia

Manusia bertindak berdasarkan akal yang dikurniakan Tuhan. Namun begitu, Allah SWT juga mengurniakan manusia hati dan perasaan yang turut membantu akal membuat keputusan. Oleh itu, manusia sering memberi tindakbalas berdasarkan tindakan atau respon orang lain. Seseorang yang suka mengeluarkan kata-kata kesat akan mendapat layanan buruk sebagai balasan daripada orang sekeliling. Begitu juga sekiranya seseorang itu sentiasa mempunyai budi bahasa yang baik, beliau pasti akan dihormati hasil dari sifat positif yang lahir daripada dirinya.

Oleh sebab itu cuba nilai kembali diri kita. Pernah ataupun tidak kita diberi layanan buruk oleh seseorang? Misalnya semasa berada di kaunter perkhidmatan awam, semasa di hospital dan sebagainya?

Pengalaman seperti itu sudah pasti menjadi pengajaran buat kita. Sudah pasti selepas ini kita semua sewajarnya menanam azam yang tinggi agar kita tidak memperlakukan manusia lain dengan sikap yang sama. Jika kita mahu orang berbuat baik terhadap kita, maka kitalah yang dahulu perlu berbuat baik bukan mengharapkan orang lain untuk memulakannya.

Teringat pula penulis kepada satu cerita dari tanah Arab mengenai seorang pemuda Islam yang bernama Abdullah. Beliau adalah seorang yang sangat aktif dan energetik orangnya tetapi mempunyai skil interpersonal yang sedikit.

Pada suatu hari, beliau meninggalkan rumah untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah di masjid. Beliau berjalan dengan pantas supaya dapat segera sampai ke Masjid sebelum iqamah dilaungkan. Di dalam perjalanan ke masjid beliau melintasi sebatang pohon kurma yang lebat berbuah sedang dipanjat oleh seorang lelaki. Abdullah terkejut melihat lelaki tersebut yang masih sibuk bekerja di atas pohon tersebut seolah-olah tidak menghiraukan azan yang telah dilaungkan.

Abdullah menjerit dengan nada marah ke arah lelaki tersebut, "Hei pemuda, turunlah kamu dari pohon kurma itu dan solatlah!"

Lelaki tersebut membalas dengan nada tidak selesa, "Baiklah, baiklah.."

Abdullah berkata lagi, " Cepatlah turun ke bawah dan solatlah di masjid, wahai keldai! "

Lelaki tersebut sangat marah dengan percakapan Abdullah dan menjerit kembali kepada Abdullah, "Kamu memanggil saya dengan gelaran keldai?! "

Lelaki tersebut dengan tanpa berfikir panjang kemudian lantas melontar pelepah pohon kurma ke arah beliau.

Untuk mengelakkan dikenali oleh lelaki terbabit Abdullah segera menutup wajahnya dengan kain serban beliau dan segera menuju ke masjid.

Kemudian tiba pula waktu Asar pada hari yang sama, Abdullah melalui jalan yang sama dan melalui lelaki yang sama namun beliau bercadang menukar cara menegur lelaki tersebut dan berkata dengan mesra, "Assalamualaikum! Apa khabar wahai saudaraku?"

Lelaki tersebut membalas, "Alhamdulillah, saya di dalam keadaan yang sejahtera!"

Abdullah bertanya sambil tersenyum, "Ceritakan kepada saya berita gembira mengenai kurma kamu. Bagaimanakah hasil kurma tahun ini?"

Lelaki tersebut membalas dengan senyuman, " Alhamdulillah."

Abdullah berkata pula, "Semoga Allah memberikan kejayaan dan kesenangan kepada kamu dan tidak mengurangkan keuntungan hasil daripada kerja keras kamu."

Lelaki tersebut berasa amat gembira dengan doa Abdullah dan segera meng'amin'kan doa tersebut.

Abdullah kemudian menyambung, "Nampaknya saudara terlalu asyik membuat kerja sehingga tidak sedar bahawa azan sudah dilaungkan untuk waktu asar dan tidak lama lagi iqamah pula akan dilaungkan. Mungkin lebih baik kamu turun dan rehat seketika dan bersedia untuk solat. Selepas solat barulah kamu menyambung semula kerja yang sedang kamu lakukan. Semoga Allah mengekalkan kesihatan kamu."

Lelaki tersebut segera menjawab. "InshaAllah.. InshaAllah.." dan mula menuruni pohon kurma tersebut secara perlahan-lahan.

Lelaki tersebut segera berhadapan dengan Abdullah, menjabat tangan beliau dengan mesra dan berkata,

"Saya mengucapkan terima kasih di atas sikap kamu yang mulia. Semasa azan Zohor tadi saya ditegur oleh seorang pemuda agar turun untuk solat tetapi beliau memanggil saya dengan gelaran keldai. Saya berasa sungguh marah dan saya mahu melihat siapakah di antara kami yang sebenarnya wajar digelar sebagai keldai."

Oleh itu jadilah yang paling murah, murah dengan senyuman. Kita bukan sahaja akan merasa gembira malah ianya turut mempengaruhi orang di sekeliling kita. Berkomunikasilah dengan baik sesama manusia dan lihatlah bagaimana respon mereka kepada kita. Mulakanlah dari sekarang kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan sempat untuk tersenyum.

No comments:

Post a Comment